PETALING JAYA – Syarikat peneraju hiburan dan media terkemuka, Astro menyambut kehadiran bulan Ramadan tahun ini dengan penganjuran jelajah ‘Assalamualaikum RaRa 2025’ di tiga negeri bermula dari 1 hingga 14 Februari lalu.
Jelajah selama tiga hari di setiap lokasi itu dimulakan di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan, Masjid Murtadha Dakwah Centre MADAD (Kedah) dan Masjid Sultan Ismail Petra (Kelantan).
Lebih 10,000 pengunjung secara keseluruhan direkodkan menghadiri acara itu yang dimeriahkan dengan barisan selebriti, personaliti radio dan juga komuniti setempat untuk mengimarahkan persekitaran masjid.
Enam duta Ramadan Raya Astro pada tahun ini, termasuk duta Astro Oasis turut memeriahkan setiap lokasi dengan memperkenalkan lebih 70 kandungan baharu yang bakal ditayangkan di Astro sepanjang Ramadan ini menerusi platform televisyen, digital dan radio.
Bertemakan ‘Meriah Lain Macam’, Astro tidak melepaskan peluang mengambil inisiatif untuk melakukan aktiviti yang mampu merapatkan ikatan persaudaraan sesama masyarakat Islam.
Antara aktiviti yang telah berlangsung termasuk agihan makanan kepada komuniti setempat, sesi ramah mesra bersama barisan selebriti, pertandingan mewarna, tulisan khat, memanah, cabutan bertuah serta persembahan penyanyi jemputan.
Menurut Astro, lokasi pertama jelajah ‘Assalamualaikum RaRa 2025’ di Masjid Sri Sendayan menyaksikan hampir 3,000 pengunjung.
Pelbagai aktiviti disediakan yang berteraskan tradisi dan budaya termasuk merewang dan ‘Mantai Bersama-sama’ selebriti jemputan antaranya Sherry Alhadad, Zizan Razak, Nadhir Nasar dan Meerqeen selaku duta Ramadan Raya Astro 2025.
Acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Astro, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, yang beramah mesra bersama pengunjung, menjadikan jelajah ini satu pengalaman bermakna dan penuh ukhuwah.
Lokasi kedua jelajah di Murtadha Dakwah Centre membawa kemeriahan ke Kedah untuk ‘Berkongsi Rezeki’ bersama hampir 8,000 pengunjung dan penduduk setempat.
Selain kehadiran duta utama dan aktiviti agihan bubur lambuk, pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan berunsur kerohanian oleh Putera Muhammad dan Rabbani.

Acara ini turut menampilkan rakaman eksklusif ‘Tazkirah Malam Jumaat’, yang dihadiri Alif Satar dan pendakwah terkenal melibatkan Ustaz Fakhrul Radhi, Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang, Ustaz Rozie Rejab dan PU Amin sekali gus menghidupkan semangat Ramadan serta mengeratkan ukhuwah.
Jelasnya, jelajah ‘Assalamualaikum RaRa 2025’ melabuhkan tirai di Masjid Sultan Ismail Petra, Kelantan melalui aktiviti istimewa ‘Battle KAFA: Geng D.U.I.T Challenge’, yang menyaksikan hampir 2,000 pengunjung hadir memberi sokongan.

Pertandingan ini menguji kanak-kanak dengan soalan berkaitan Perkara Asas Fardhu Ain, termasuk ibadah, Al-Quran, sirah dan hafazan, di mana empat pasukan bersaing merebut gelaran juara KAFA Cup.
Ia turut membawa pengunjung menyelami kisah menarik siri terbaharu Astro, Geng D.U.I.T, yang bakal ditayangkan sepanjang Ramadan ini.
Sementara itu, Astro turut menggerakkan program kebajikan, Astro Kasih dengan mengagihkan sebanyak 300 pek prihatin yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan gulabagi meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan.

Selain itu, Astro Kasih turut menyumbangkan 300 beg sekolah kepada Yayasan Munarah menerusi program ‘Kembali ke Sekolah’, memberi peluang kepada mereka untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih semangat dan keyakinan.
Untuk makluman, bantuan masih boleh disumbangkan melalui akaun RHB Bank Berhad, Yayasan Astro Kasih di nombor 21412900254230 menjelang bulan Ramadan ini. – KOSMO! ONLINE