fbpx

Isu tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman selesai secara harmoni – Dr. Zaliha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha ketika mengadakan pertemuan bersama Jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman hari ini. Foto Facebook Dr. Zaliha.

PETALING JAYA – Isu tapak penempatan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di sebahagian kecil tanah milik swasta berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur berjaya diselesaikan secara harmoni selepas rundingan bersama pelbagai pihak termasuk pengurusan kuil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dalam hantaran di Facebook menegaskan bahawa penyelesaian ini adalah khusus untuk kes tersebut dan tidak boleh dijadikan rujukan bagi rumah ibadat lain.

“Setiap isu melibatkan rumah ibadat akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa semua pembinaan rumah ibadat baharu perlu mematuhi semua garis panduan serta peraturan sedia ada bagi menjamin keharmonian dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan,” katanya hari ini.

Beliau turut menyeru agar polemik berhubung isu berkenaan dihentikan segera dan semua pihak terus memelihara keharmonian yang telah lama menjadi asas kekuatan negara.

Tambahnya, kerajaan sentiasa menghormati hak dan kepercayaan semua penganut agama sambil memastikan setiap keputusan yang diambil bersifat adil, inklusif serta mengutamakan kepentingan bersama.

“Prinsip kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan akan terus dihormati, di samping memastikan kepentingan awam dan kedaulatan undang-undang terus terpelihara,” ujarnya.

Dr. Zaliha turut mengingatkan semua pihak, termasuk pemimpin dan masyarakat agar tidak memanipulasikan isu ini dengan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan.

Pada 20 Mac lepas, media melaporkan proses perbincangan mengenai pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berjalan dengan harmoni antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, majlis pecah tanah sebuah masjid yang akan dibina di Jalan Masjid India itu akan diteruskan pada Khamis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI