SEREMBAN – Sebuah hospital swasta, di sini, menawarkan pembedahan buat isteri ‘Pak Cik Petai’ yang tular sebelum ini di Port Dickson, untuk menjalani rawatan katarak bernilai kira-kira RM4,000 pada 10 April ini.
Pak Cik Petai atau nama sebenarnya Mohd Noor Saad, 67, berkata, dia yang sememangnya susah tidak mampu untuk menyimpan wang buat pembedahan mata isterinya, Astiah Yaakob, 63, yang sepatutnya dibuat sejak enam tahun lalu.
“Pak cik memang orang susah, kerja-kerja kampung sahaja. Pak cik pun ada penyakit darah tinggi, kencing manis tapi masih boleh la cari nafkah. Duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun ada RM500. Itu sahaja la.
“Lama juga Pak Cik ni mengumpul duit tapi tak kesampaian, maklumlah (kos hidup hari ini). Jadi, pak cik gembira sangat bila ada yang nak menolong pak cik sekeluarga. Terima kasih pak cik ucapkan,” katanya ketika ditemui di Hospital Columbia Asia, di sini, hari ini.
Sementara itu, Astiah berkata, dia merupakan pemegang status penduduk tetap telah dinasihatkan untuk menjalani pembedahan membuang katarak di kedua-dua belah mata enam tahun lalu.
“Mak cik tanya boleh tangguh tak sebab mak cik orang susah. Tak ada duit, mereka kata ada bahagian kebajikan membantu nanti, namun sebab status (penduduk tetap), jadi tak dapatla bantu semua,” katanya. -KOSMO! ONLINE.