KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) melalui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memperkenalkan Inisiatif Program JanaVeteran menyasarkan manfaat kepada Veteran ATM yang telah bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menceburi bidang pertanian.
Inisiatif melibatkan kerjasama Boustead Plantations Berhad (BPlant) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ini merangkupi beberapa program seperti Program Tanaman Halia dan Cili Fertigasi serta Program Usahawan Tani Veteran.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program tersebut juga merupakan langkah bagi membantu kerajaan memperkukuhkan aspek keterjaminan makanan negara di samping membuka peluang kepada ahli veteran ATM menjana pendapatan dalam bidang keusahawanan tani.
“Melalui Program Tanaman Halia dan Cili Fertigasi, BPlant akan menyediakan plot fertigasi di atas tanah seluas 105 hektar kepada pesara tentera yang terpilih, yang mana 80 hektar adalah bagi penanaman halia dan baki 25 hektar penanaman cili.
“Untuk permulaan, program ini dijangka akan memberikan manfaat kepada seramai 100 veteran ATM sebagai usahawan yang akan menguruskan penanaman fertigasi halia dan cili menggunakan teknologi moden,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis peluncuran Inisiatif Program JanaVeteran melibatkan Boustead Plantations Berhad (BPlant) dan pra-peluncuran aplikasi “Perwira Super App” oleh Pernama Network Sdn. Bhd. dan Mastercard International pada Majlis Berbuka Puasa bersama pengamal media di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Inisiatif JanaVeteran, Halia dan Cili Fertigasi ini dimulakan dengan projek perintis di Kota Tinggi, Johor.
“BPlant akan menyediakan 15 plot fertigasi melibatkan 15 peserta di atas tanah seluas 12 hektar yang mana setiap peserta berpotensi menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.
“Veteran ATM yang terlibat disasarkan dapat mengeluarkan 3,500 metrik tan halia setahun dan 350 metrik tan cili
setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.
Berhubung Program Usahawan Tani Veteran pula, beliau berkata, ia membuka peluang kepada pesara tentera untuk menjadi usahawan di dalam bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman kontan yang tersenarai di dalam program Keterjaminan Makanan Negara.
Katanya, dalam usaha ini, BPlant telah mengenal pasti 300 hektar tanah milik BPlant di Semenanjung Malaysia untuk diusahakan dengan tanaman kontan.
Mohamed Khaled turut menyempurnakan pra-peluncuran aplikasi “Perwira Super App” dibangunkan oleh Perwira Niaga Malaysia (Pernama) Network.
Ia melibatkan kerjasama Mastercard International bagi kegunaan komuniti di bawah Mindef menggabungkan
kecerdasan buatan (AI) untuk mempercepat transformasi masyarakat ke arah digital dengan ciri keselamatan canggih, cekap, selamat dan mesra pengguna.
“Aplikasi ini akan memberi manfaat kepada komuniti ketenteraan dalam bidang ekonomi dengan menjanjikan transformasi digital khusus kepada warga pertahanan dan veteran serta semua anak syarikat di bawah seliaan Mindef.
“Antara fungsi yang disediakan melalui aplikasi ini adalah Perkhidmatan Kewangan, E-Marketplace, diskaun eksklusif dan ganjaran kesetiaan, Government Connect Module, mengintegrasikan ciri kesihatan dan kesejahteraan serta hab e-Learning,” katanya.
Sementara itu, Majlis Berbuka Puasa hari ini mengumpulkan lebih 300 orang terdiri daripada pengamal media dan komunikasi bertujuan meraikan serta menzahirkan penghargaan kepada mereka yang memberikan sumbangan dan sokongan kepada Mindef. – KOSMO! ONLINE