BANGI – Hotel Tenera telah diiktiraf sebagai hotel bertaraf lima bintang pada Mei tahun lalu dan ia kini dikenali sebagai Tenera Hotel and Suites.
Pengurus Besar Hotel Tenera, Fadzly Hamzah berkata, pencapaian ini membuktikan komitmen syarikat dan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk kakitangannya dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
“Pengiktirafan ini akan mengukuhkan lagi jenama kami dalam industri perhotelan di negara ini, sekali gus memberi semangat dan motivasi kepada kami untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis berbuka puasa bersama media di hotel berkenaan, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, bagi Ramadan tahun ini, Hotel Tenera menjanjikan pengalaman berbuka puasa memukau dengan lebih daripada 200 hidangan istimewa yang ditawarkan pada harga RM158 untuk dewasa dan RM78 untuk kanak-kanak.
Fadzly berkata, tawaran bufet ini masih mengekalkan konsep bazar Ramadan dengan lebih 40 gerai yang menyajikan pelbagai juadah.
“Antara hidangan istimewa yang kami sediakan termasuk Nasi Dalcha Lutu Kambing, Asam Pedas Huzz Power, Kari ‘Mapley’ Kepala Ikan, Kawah Gulai Raja Berangkat, Coq Langgar Padang Merdeka, Tempe Madoran, Kopi Gantung, The Chai dan juga durian,” jelasnya.
Selain itu, hotel ini turut menyajikan masakan panas, sup, pasta, piza, kuih muih dan pelbagai jenis buah-buahan.
Peminat durian pula pasti teruja untuk berbuka puasa dengan raja buah itu dengan penyediaan kira-kira 200 kilogram durian setiap hari.
Hotel ini juga menawarkan promosi harga bilik istimewa termasuk baucar Bufet Ramadan dan hidangan sahur.
Tenera Hotel and Suites tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah pengunjung bagi mengelakkan lebihan kapasiti baik dari segi tempat duduk mahupun jumlah makanan buat tetamu, namun dewan yang disediakan mampu memuatkan sehingga 1,000 orang. -KOSMO! ONLINE