JAKARTA – Dua adik-beradik di wilayah Banten, Indonesia mengundang perhatian ramai kerana sanggup menjual buah pinggang untuk membebaskan ibu mereka yang ditahan polis, lapor portal berita Insertlive semalam.
Suspek yang dikenal pasti sebagai SY itu ditahan di Balai Polis Tangerang Selatan kerana didakwa terlibat dengan sindiket penyelewengan.
Penangkapan itu dibuat selepas polis menemukan cukup bukti. Suspek bagaimanapun dilepaskan selepas keluarganya memohon untuk menangguhkan penahanan pada Jumaat lalu.
“Permohonan itu diluluskan oleh penyiasat Jabatan Polis Ciputat Timur.
“Suspek telah pulang ke pangkuan keluarganya,” kata polis.
Susulan penangguhan itu, pasangan beradik tersebut mengucapkan terima kasih kerana meluluskan permohonan mereka.
“Terima kasih kepada Polis Tangerang Selatan dan Polis Ciputat Timur kerana mengabulkan permohonan penangguhan penahanan ibu kami,” kata mereka. – AGENSI