KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski bertekad mahu memulakan aksi pusingan ketiga Piala Asia 2027 menentang Nepal dengan kemenangan.
Cklamovski memberitahu, pasukan sudah membuat persiapan rapi sepanjang tempoh lapan hari latihan pusat menjelang aksi pertama Kumpulan F di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
“Ini adalah langkah pertama yang sangat penting. Kami mahu berikan persembahan yang baik, raih keputusan yang baik dan apabila tiba masanya nanti, kami benar-benar mahu berada di Piala Asia.
“Penting juga untuk diingatkan bahawa kelayakan ke Piala Asia adalah matlamat jangka pendek kami dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan menentang Nepal.
Cklamovski berkata, selain memahami konsep dan falsafah bola sepak yang diterapkan, pemain juga perlu membina mentaliti kemenangan dalam pasukan ini.
“Mentaliti kemenangan memerlukan konsistensi dalam apa yang kita lakukan. Kita telah melalui hari-hari yang baik, tetapi kita perlu terus membina momentum itu.
“Jadi, dalam perlawanan esok, kita mahu mengambil langkah pertama dengan cara yang positif, menjadi pasukan yang kuat. Kemudian, kita perlu terus membina mentaliti sebagai satu pasukan untuk menetapkan diri kita sebagai antara yang terbaik,” ujarnya.
Ditanya mengenai ujian pertamanya menentang Nepal, pengendali kelahiran Australia itu berkata, dia tidak pernah merasa tekanan walaupun ada yang akan membandingkan prestasinya dengan ketua jurulatih yang terdahulu.
Ditanya sama ada dua pemain warisan yang baharu menyertai skuad kebangsaan, Hector Hevel dan Gabriel Palmero akan diturunkan, Cklamovski enggan berkongsi perkara tersebut bagi memberikan keterujaan menjelang perlawanan itu.