PETALING JAYA – Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik terkemuka, Cape EMS Berhad (CEB) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Taiwan’s Aerospace Industrial Development Corporation (AIDC), atau Hanxiang Aerospace Corporation hari ini.
Kedua-dua syarikat menandatangani tiga perjanjian utama untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (RE), pembuatan komponen aeroangkasa, dan teknologi sains hayat.
Dalam RE, tumpuan akan diberikan kepada penyelesaian mikrogrid generasi baharu seperti sistem ‘power island’ iaitu sistem tenaga kendiri yang mampu membekalkan elektrik bersih dan stabil kepada komuniti terpencil serta kurang mendapat akses di seluruh Asia Tenggara.
Kerjasama tersebut juga akan memperluaskan pengeluaran komponen pesawat bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat, dengan memanfaatkan kolaborasi AIDC bersama pengeluar utama seperti Airbus, Boeing, dan Bombardier.
Selain itu, kerjasama berkenaan akan menggalakkan pengeluaran komponen penting untuk aplikasi perubatan dan saintifik melalui pembuatan ketepatan sub-mikron, menyumbang kepada perkembangan teknologi dalam bidang penjagaan kesihatan dan penyelidikan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CEB, Christina Tee Kim Chin berkata, kerjasama strategik itu menandakan langkah penting dalam pengembangan CEB ke dalam industri berpotensi tinggi.
“Sektor tenaga global menarik pelaburan sekitar AS$3 trilion setiap tahun, dengan teknologi tenaga hijau dan infrastrukturnya menyumbang kira-kira AS$1.9 trilion.
“Di Asia Tenggara, usaha untuk mencapai sasaran iklim memerlukan peningkatan lima kali ganda dalam pelaburan tenaga hijau, mencecah AS$190 bilion setiap tahun menjelang 2035.
“Peralihan besar ini membuka peluang yang luas dan melalui kerjasama ini, kami berada dalam kedudukan kukuh untuk menerajui inovasi dalam penyelesaian mikrogrid dan tenaga boleh diperbaharui, seterusnya membentuk masa depan lebih lestari,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE