fbpx

Caj kesesakan hanya kajian, belum dilaksana – Anthony Loke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak bercadang untuk melaksanakan caj kesesakan ke atas kenderaan persendirian buat masa ini, malah menegaskan ia hanya kajian semata-semata.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan mengenakan caj kesesakan itu merupakan satu penyelesaian yang dilontarkan oleh pelbagai pihak dalam usaha mengurangkan kesesakan di jalan raya khususnya di Lembah Klang.

Kata beliau, perkara itu dibincangkan secara mendalam melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR).

“Topik caj kesesakan sudah lama dibincangkan, tetapi tidak pernah dilaksanakan kerana di pihak kerajaan, kita merasakan belum matang dan sesuai dengan keadaan pengangkutan awam di negara ini.

“Memang ada kajian lihat sejauh mana caj kesesakan ini boleh dilaksanakan, tetapi saya nak tegaskan, belum ada pelaksanaan lagi,” katanya dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Negara di sini hari ini.

Anthony Loke turut menafikan tiada kajian caj kesesakan melibatkan kawasan di luar Lembah Klang seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Saya nak tekankan, kajian caj kesesakan ini tidak melibatkan kawasan luar Lembah Klang. Ada laporan kata nak kenakan di Johor Bahru, Pulau Pinang. Memang tak ada, kajian ini hanya tertumpu pada kawasan Lembah Klang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke berkata, MOT sedang melaksanakan kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang (PSPA-LK) yang turut merangkumi kajian Origin-Destination (OD).

Beliau berkata, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) melalui kerjasama Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sedang melaksanakan kajian mengenai pelaksanaan caj kesesakan yang merangkumi pelbagai aspek.

“Negara-negara maju hanya melaksanakan caj kesesakan setelah mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik dan mampan.

“Selain itu, ia disokong oleh First and Last Mile Connectivity yang menghubungkan stesen pengangkutan awam dengan kawasan tumpuan serta Pembangunan Guna Tanah Mampan diintegrasikan dengan konsep Transit Oriented Development (TOD),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan yang bertanya jika kerajaan akan mempertimbangkan untuk melaksanakan cukai caj kesesakan pada ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI