AUSTIN, TEXAS – Polis negeri Texas menemui bahan letupan diletakkan di sebuah bilik pameran Tesla sebagai protes terhadap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Polis bergegas lokasi kejadian di bandar Austin selepas menerima aduan orang awam kelmarin.
Skuad pemusnah bom Jabatan Polis Austin mengesahkan objek tersebut peranti letupan yang boleh mencetuskan kebakaran.
“Ia bom direka khas untuk membakar objek atau mencetuskan kebakaran,” demikian menurut Pejabat Hal Ehwal Perlucutan Senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pihak berkuasa memindahkan bahan letupan tersebut tanpa sebarang kecelakaan.
“Biro Penyiasatan Persekutuan turut membantu polis di bilik pameran berkenaan,” demikian menurut saluran berita CNBC.
Sementara itu, ejen-ejen persekutuan dikerah untuk mengawal keadaan berikutan 48 serangan ke atas Tesla dalam bulan ini.
Selain itu, sebilangan video memaparkan penunjuk perasaan cuba merosakkan kenderaan elektrik (EV) itu di jalan-jalan raya.
Serangan berlaku berikutan pelantikan Musk sebagai Ketua Jabatan Kecekapan Kerajaan dalam pentadbiran Trump. – AGENSI