DUBLIN, IRELAND – Dua lelaki bernasib baik kerana masih hidup selepas kereta Audi dinaiki mereka penyek setelah merempuh dua batang pokok ketika dipandu sangat laju, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku Ahad lalu di Co Westmeath, Ireland sekitar pukul 2.30 pagi (waktu tempatan).
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan kereta itu hilang kawalan sebelum merempuh pokok dan berguling-guling beberapa ratus meter di jalan raya.
Polis menyiasat kemalangan itu berdasarkan rakaman kamera papan pemuka kereta, beberapa minit sebelum nahas berlaku. Ia menunjukkan meter kelajuan mencecah hampir 200 kilometer sejam.
Serpihan kereta berselerakan beberapa ratus meter di lokasi kejadian dengan pintu, tayar dan enjin tercabut daripada casisnya.
Penduduk tempatan berlari membantu kedua-dua mangsa sebelum perkhidmatan kecemasan tiba di tempat kejadian.
Mereka dikejarkan ke hospital terdekat dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
“Ia benar-benar satu keajaiban kerana kedua-dua lelaki itu masih hidup. Namun, mereka berada dalam keadaan kritikal di hospital. Semoga mereka dapat bertahan,” kata seorang penduduk tempatan. – AGENSI