PETALING JAYA – Penyanyi Ina Naim mendedahkan anak keduanya iaitu Salman Elkhoyri menentang perkahwinannya dengan Mohd. Khairul Rizal.
Menurut Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd. Naim, 41, puteranya itu tidak merestui perkahwinannya kerana masih berpegang dengan janji dengan bapanya iaitu Allahyarham Suhaimi Saad.
“Kami bersalaman lima beranak dan saya tanya Salman, tolong bagi sebab kenapa tidak mahu bagi saya kahwin lagi.
“Antara sebab yang jadi tersentuh sangat bila dia cakap ‘nak duduk dengan ayah di sana (akhirat). Kita kan dah janji.’
“Dia kata kita dah janji nak pergi syurga sama-sama. Bila saya dengar dia cakap begitu, saya terdiam dan tidak menjawab,” katanya dalam sebuah temu bual dengan stesen radio.
Berkongsi lanjut, Ina mengakui anak-anak sukar menerima perkahwinannya tetapi akhirnya berjaya memujuk mereka untuk menerima kehadiran bapa baharu.
“Mereka masih lagi kekal dengan ayahnya yang pertama. Memang susahlah (terima ayah baru) terutamanya anak nombor dua.
“Abang dia ada pujuk dan adik-adik lain pun turut memujuk dia untuk saya berkahwin lagi.
“Sebelum nak bertunang kalau tak silap, saya cakap dengan Salman tak baik sekat ibu (kahwin lagi),” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Ina bergelar ibu tunggal selepas suaminya, bekas penyanyi kumpulan nasyid In-Team, Allahyarham Suhaimi Saad, 43, yang meninggal dunia pada 15 November 2023.
Hasil perkahwinn dengan Suhaimi, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Setahun selepas kematian suami, Ina berkahwin dengan Khairul pada 8 November lalu di Felcra Sungai Ara. – KOSMO! ONLINE