PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Muar, Johor yang menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang lelaki kerana memiliki 18 rakaman video dan gambar bogel anak tiri perempuannya berusia 15 tahun.
Dalam kenyataan hari ini, AGC berkata, notis rayuan itu difailkan terhadap keputusan mahkamah terhadap pekerja pembersihan berusia 56 tahun yang mengaku bersalah di bawah pertuduhan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] kerana memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak iaitu 18 rakaman video bogel dan beberapa keping gambar bogel kanak-kanak perempuan itu.
“Setelah mempertimbangkan keputusan Mahkamah Sesyen Muar, AGC hari ini memfailkan notis rayuan bagi merayu terhadap hukuman denda yang dijatuhkan ke atas pesalah berkenaan. Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, pada 19 Mac lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Muar menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap lelaki itu kerana merakam dan memiliki bahan lucah berupa video dan gambar bogel anak tirinya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak iaitu 18 rakaman video dan beberapa gambar bogel anak tiri berusia 15 tahun sedang mandi.
Perbuatan itu dilakukan di bilik pegawai penyiasat jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar antara 17 September hingga 21 Disember tahun lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dengan penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE