fbpx

4,730 anak tempatan kembali berkhidmat di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menerima sebanyak 11,402 permohonan daripada bakat profesional Malaysia yang menetap di luar negara sejak pelaksanaan Program Kepulangan Pakar (REP) dari tahun 2011 hingga tahun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, daripada jumlah tersebut, 7,241 permohonan telah diluluskan manakala 4,730 individu telah kembali berkhidmat di Malaysia.

Katanya, program REP merupakan salah satu daripada inisiatif kerajaan dalam usaha menangani fenomena ‘brain drain’ serta memperkukuh pembangunan modal insan yang berkualiti untuk pertumbuhan ekonomi negara.

“Pelbagai insentif menarik ditawarkan kepada diaspora Malaysia dalam program REP antaranya kadar cukai rata sebanyak 15 peratus ke atas pendapatan pekerjaan selama lima tahun dan pengecualian cukai bagi barangan peribadi (kecuali kenderaan bermotor).

“Selain itu, pengecualian duti eksais sehingga RM100,000 untuk kenderaan kereta pemasangan tempatan,” katanya dalam sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Prof. Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah yang meminta tindakan diambil kerajaan untuk membendung kehilangan bakat pada masa hadapan.

Tambah Abdul Rahman, fenomena migrasi bakat kini telah beralih daripada ‘brain drain’ kepada ‘brain circulation’, di mana diaspora Malaysia yang berada di luar negara masih boleh terlibat dan menyumbang kepada pembangunan negara secara aktif menerusi inisiatif seperti Malaysia@Heart (MyHeart).

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memperbaiki struktur gaji, Kesuma melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan TalentCorp telah menjalankan kajian mengenai pelaksanaan Projek Rintis Dasar Gaji Progresif (DGP).

Katanya, kajian ini bertujuan menilai keberkesanan dasar tersebut dalam meningkatkan kesejahteraan pekerja, dengan mengambil kira bukan sahaja pengalaman dan senioriti tetapi juga kelayakan akademik serta tahap kemahiran yang dimiliki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI