SABAK BERNAM – Polis merekodkan keterangan empat individu berkaitan penemuan mayat bayi dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, kesemua individu itu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Sehingga kini empat orang (rekod keterangan) dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini dengan polis dalam tindakan mengesan suspek wanita itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dengan sebarang perkembangan terbaharu kes itu akan dimaklumkan kepada pihak media.
“Justeru, mana-mana saksi yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi lyana Mohd. Khairani di talian 018-2510452 atau balai polis berdekatan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mayat seorang bayi ditemui dalam keadaan terlangkup dalam mangkuk tandas wanita di sebuah stesen minyak. – KOSMO! ONLINE