JERANTUT – Rakyat negeri ini tidak perlu bimbang akan kekurangan bekalan kelapa menjelang Aidilfitri apabila kerajaan negeri mengimport 10 buah kontena kelapa dari Indonesia untuk keperluan rakyat Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Sim Chon Siang berkata, dengan membawa masuk barangan itu, orang ramai tidak lagi berdepan masalah kekurangan kelapa dan santan untuk membuat persiapan menyambut Syawal.
“Kemudahan bekalan ini juga dapat menurunkan harga santan kepada RM20 sekilogram mulai minggu ini berbanding RM22 hingga RM24 sebelum ini.
“Saya ingin tegaskan Pahang tidak mengalami kekurangan kelapa dan santan seperti yang diuar-uarkan dan penduduk boleh membeli barangan itu di pasar dan tempat jualan pada harga RM20 sekilogram,” katanya selepas merasmikan pembukaan cawangan kedua Pasar Raya BS Freshmart hari ini.
Sempena pembukaan itu, Chon Siang turut menyampaikan barangan keperluan dapur dan duit raya daripada pengurusan pasar raya kepada 60 ketua keluarga yang kurang berkemampuan di Jerantut. -KOSMO! ONLINE.