LONDON – Pengurus England, Thomas Tuchel bersedia untuk melakukan penggiliran pemain bagi menghadapi aksi kedua Kumpulan K Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Latvia awal pagi esok.
Langkah itu dilihat sebagai percaturan penting bagi mengelak pemain berdepan isu keletihan hingga mengehadkan persembahan pasukan.
“Ya, kami berdepan masalah pemain keletihan dan sudah pasti kami akan ambil peluang ini untuk menilai keadaan pemain begitu juga bagi mereka yang berada di bangku simpanan.
“Kami mempunyai pilihan dan saya begitu yakin dengan semua 22 pemain. Semua pemain berhak untuk bermain kerana mereka berlatih pada tahap tertinggi,” katanya.
Pada aksi dengan Albania kelmarin, Myles Lewis-Skelly dan penjaring terbanyak, Harry Kane cemerlang menyumbangkan jaringan bagi mengesahkan kemenangan 2-0 The Three Lions.
Ketika ini England dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi aksi kedua dimana Latvia seakan tidak memiliki kekuatan seimbang dimana lawan itu hanya berada di ranking ke 140 dunia.
“Saya fikir kami kurang melakukan larian ke kawasan lawan sebaliknya terlalu banyak membuat hantaran. Kami akan terus berikan galakan kepada pemain supaya mereka mampu menyerlahkan potensi sebenar,” katanya. – AGENSI