KUALA LUMPUR – Meskipun berpisah, pelakon Diana Danielle menegaskan perceraiannya dengan Farid Kamil bukan alasan untuk menghalang bekas suaminya daripada bertemu anak-anak mereka.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, berkata, keutamaannya kini adalah memastikan kebajikan dua cahaya mata mereka terus terjaga tanpa sebarang konflik.
“Walaupun sudah berpisah, saya tak rela menjaga anak seorang diri. Saya juga tak pernah merancang untuk menyimpan anak hanya untuk diri sendiri atau menyusahkan pihak bekas suami.
“Anak-anak perlukan ibu dan ayah. Jadi, kami cuba memudahkan urusan mereka. Keadaan sudah cukup sukar, jadi jangan terus menyukarkan lagi,” katanya kepada Kosmo! Onlne.
Pelakon filem Imaginur itu berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Diana turut memaklumkan bahawa Farid bebas bertemu anak-anak mereka pada bila-bila masa mengikut kesesuaian waktu.
“Alhamdulillah, anak-anak setakat ini tidak menunjukkan apa-apa keadaan yang membimbangkan.
“Tiada sekatan dalam perhubungan, baik dari segi talian mahupun perjumpaan. Bila-bila masa saja boleh bertemu.
“Semoga hubungan ini terus erat demi anak-anak,” ujarnya.
Bercakap mengenai sambutan Aidilfitri, Diana tidak kisah anak-anak pulang ke kampung Farid terlebih dahulu untuk berhari raya.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya keadaan menjadi lebih mudah. Farid pun boleh membawa anak-anak balik kampung.
“Bila status sudah jelas, lebih senang bagi saya sebagai seorang wanita.
“Anak-anak akan beraya dengan Farid dahulu. Saya tidak kisah mereka beraya di mana dulu kerana suasana di sebelah Farid lebih berkonsepkan kampung, manakala saya pula akan beraya di Kuala Lumpur,” luahnya.
Sementara itu, Farid ketika ditanya mengenai penjagaan anak-anak berkata, perkara tersebut tidak menimbulkan masalah memandangkan segalanya telah dipersetujui bersama.
“Berkaitan anak-anak, tiada masalah kerana seperti yang dipersetujui, pihak ibu akan menjaga mereka dan alhamdulillah, sampai sekarang tiada apa-apa isu.
“Saya harap perkara ini berkekalan, insya-Allah,” tuturnya.
Konflik rumah tangga antara Farid Kamil dan Diana Danielle akhirnya menemui noktah apabila pasangan selebriti itu disahkan bercerai talak satu pagi tadi.
Lafaz cerai dilakukan Farid atau Farid Kamil Zahari, 43, terhadap Diana di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Kamaruddin. – KOSMO! ONLINE