PETALING JAYA – Seorang ibu kagum dengan semangat ustaz, ustazah dan pelajar lelaki sekolah menengah yang membantu murid sekolah rendah sebuah pusat pendidikan agama yang terkesan akibat banjir di Johor Bahru.
Menerusi video dikongsikan pengguna TikTok Ameera Hany Amer kelihatan anak perempuannya yang bersekolah rendah di pusat berkenaan duduk di atas gabus yang ditolak pelajar lelaki sekolah menengah.
Selain pelajar tersebut, ustaz dan ustazah di pusat pendidikan itu turut bertungkus lumus mengeluarkan murid-murid sekolah rendah serta diserahkan kepada ibu bapa masing-masing yang menunggu di luar.
“Ustaz kata pelajar-pelajar akan dibawa keluar menaiki gabus ke belakang sekolah, tempat lebih cetek ibu bapa boleh datang. Umi tak kisah, nak redah air yang penting kakak dengan umi. Sampai belakang sekolah kakak, umi sebab tengok keadaan sekolah sedihnya air tinggi paras dada orang dewasa, ya Allah.
“Dari jauh umi nampak ustaz-ustaz dan pelajar lelaki menengah tengah berusaha keluarkan pelajar. Naik paip yang atas dia ada papan, sebaknya dada umi ni kakak. Terharu tengok ustaz dan pelajar semua. Tak lama lepas tu, dari jauh umi nampak kakak.
“Kakak, umi dengan tokma kat sini. Naik gabus dijaga tiga ustaz dan abang-abang soleh, umi sebak sangat masa ni. Alhamdulillah, akhirnya kakak dengan umi. Terima kasih ustaz, ustazah, pelajar sekolah menengah yang banyak berkorban dan bantu keluarkan pelajar lain,” katanya.
Menerusi ruangan komen, wanita itu berkata, ada ustaz di sekolah tersebut yang mengalami demam selepas meredah banjir mengeluarkan murid di situ.
Dalam pada itu, ada ibu bapa yang turut mempunyai anak bersekolah menengah di pusat pendidikan agama di situ dan mereka turut berkongsi cerita.
“Anak saya pun di situ yang sekolah menengah. Dia cerita kaki kejang, tapi tetap bertahan nak bantu adik-adik kecil yang lain,” komen CatSeal.
“Anak saya berbaju merah tu (dalam video) pelajar tingkatan lima. Sedih dengar dia cerita semalam, barang-barang dalam asrama semua tinggal begitu saja,” kata Aryana.
“Terima kasih kepada barisan pendidik dan pelajar senior bertungkus lumus membantu mengeluarkan semua murid dan pelajar. Kepada anak-anak pelajar tingkatan lima, semoga pengorbanan ini dibalas dengan SPM cemerlang,” ujar Zulaikha Hamzah. – KOSMO! ONLINE
@ameerahanyamer 20/3/2025 johor bahru banjir. pengalaman pertama rasa paniknya bila banjir.. masyaAllah Alhamdulilah Allah lindungi semua pelajar dan guru2 semua selamat. Semoga Allah beri ganjaran dlm kita bersabar menghadapi ujiannya. Amin. #jbbanjir2025 #jb ♬ suara asli – putra Altaf 💫