PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan kedua.
Menurut beliau, TVET kini adalah arus perdana dalam aspek pendidikan, malah menjadi barisan hadapan dalam reformasi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM)
“Sejak dari awal memimpin KPM, tumpuan saya kepada TVET adalah keutamaan. Kebolehpasaran TVET KPM adalah 99 peratus.
“Kerajaan Madani telah menubuhkan Majlis TVET Negara sebagai landasan penting untuk menentukan haluan negara menerusi TVET.
“Sebagai sebuah negara bersiap siaga memimpin ASEAN, halatuju ini penting untuk membina kepakaran dalaman negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Fadhlina berkata, Sabah daripada segi pendidikan masih terlalu banyak perlu dilakukan, tetapi ia adalah negeri yang cukup berpotensi dalam bidang TVET.
Kata beliau, inisiatif sekolah daif di Sabah berjalan dengan sangat baik dan progresif, malah pelbagai akses pendidikan yang lain sedang digerakkan dengan agresif di negeri itu.
“Ini termasuk sekolah K9/K11, Program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Sekolah/Kelas MBPK, peningkatan inisiatif program STEM, penyelesaian sekolah padat, meningkatkan enrolmen dan kehadiran ke sekolah, advokasi berkaitan kemiskinan haid dan perkahwinan kanak-kanak,” katanya.
Justeru, kata beliau, TVET sebagai pilihan pendidikan menjadi agenda besar KPM di Sabah dan antara Kolej Vokasional (KV) yang terbaik dan telah mendapat pengiktirafan antarabangsa juga KV dari Sabah.
“Ini bermakna dengan komitmen institusi dan warga KV, tiada apa yang mustahil,” katanya. – KOSMO! ONLINE