PUTRAJAYA – Permohonan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah terdahulu berhubung Titah Adendum Datuk Seri Najib Tun Razak akan diketahui 28 April ini di Mahkamah Persekutuan, di sini.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah menetapkan tarikh tersebut setelah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.
Pada prosiding hari ini, Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar hadir mewakili dirinya sendiri manakala Najib diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Terdahulu semasa prosiding, Mohd. Dusuki ketika berhujah antara lain menyatakan bahawa satu panduan kehakiman dan penjelasan diperlukan dalam menyelesaikan ketidakpastian yang timbul disebabkan perbezaan penanda aras dalam menentukan kebolehterimaan bukti baharu.
Selain itu, Mohd. Dusuki menyatakan isu utama semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib adalah sesuatu yang tidak wajar disemak oleh Mahkamah kerana ia membabitkan perogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Sementara itu, Muhammad Shafee pula dalam hujahannya menyatakan pihaknya tidak mencabar keputusan Lembaga Pengampunan sebaliknya mempertahankan kuasa YDPA dalam pelaksanaannya.
Sebelum ini, pada Februari lalu, Peguam Negara memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dengan merujuk kepada tujuh persoalan undang-undang.
Antara persoalan undang-undang yang hendak dirujuk ke Mahkamah Persekutuan ialah sama ada wujud sebarang kewajipan di bawah undang-undang untuk memaksa mana-mana pihak berkuasa mengesahkan kewujudan dan memberikan salinan dokumen kepada pihak Pemohon terutamanya ke atas Peguam Negara yang hanya bertindak di atas kapasitinya.
Selain itu, Peguam Negara memohon Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan sama ada pihaknya boleh mengemukakan keterangan baru yang akan memberikan kesan undang-undang terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang boleh dicabar secara langsung atau tidak langsung.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum tersebut.
Dalam keputusan 2-1, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati tiada mana-mana responden yang dinamakan dalam permohonan itu memfailkan sebarang afidavit menafikan kewujudan perintah tambahan itu.
Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’, bukannya di Penjara Kajang.
Menurut afidavit difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung Titah Adendum pada 12 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE