GEORGE TOWN – Polis telah menyerahkan tiga kertas siasatan berhubung kes seorang doktor ‘nakal’ yang berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakitnya kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahad berkata, pihak polis sedang menunggu arahan selanjutnya daripada TPR berhubung kes tersebut.
“Polis telah serahkan tiga kertas siasatan kes ini kepada TPR, kita tunggu arahan lanjut daripada TPR,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, suspek ditahan kali pertama pada 26 Februari lalu atas dakwaan berkelakuan tidak senonoh di tempat kerjanya di sebuah hospital kerajaan di sini.
Bagaimanapun, dia ditahan semula 6 Mac selepas disyaki melakukan kesalahan sama terhadap seorang pesakit wanita warga tempatan di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus, tahun lalu.
Kemudian, suspek ditahan buat kali ketiga pada 10 Mac lalu selepas seorang lagi wanita warga asing tampil membuat laporan polis selepas mendakwa turut untuk menanggalkan pakaian ketika melakukan pemeriksaan jantung di sebuah hospital pada 20 Februari lalu.
Suspek turut mengarahkan mangsa berlari setempat selain merakam tindakan tersebut menggunakan telefon bimbit
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, polis Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 478 permit menjual mercun dan bunga api di negeri itu sejak 1 Jan hingga 21 Mac termasuk untuk jualan sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Polis menerima sebanyak 486 permohonan namun lapan daripadanya ditolak kerana permohon ada rekod lampau dan tiada kelulusan permit perniagaan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP),” katanya. -KOSMO! ONLINE