LUMUT – Kemalangan membabitkan 10 buah motosikal dan sebuah treler di Kilometer 221.5 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah Selatan di sini pada pukul 1 pagi Sabtu lalu berpunca daripada salah sebuah motosikal tersebut yang hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, siasatan awal pihaknya di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu berlaku apabila sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang seorang lelaki Melayu berumur 18 tahun terbabas.
“Motosikal itu datang dari arah utara menuju ke selatan. Semasa sedang mara secara konvoi, penunggang motosikal itu dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang kanan sebuah treler yang sedang bergerak perlahan di lorong kecemasan.
“Akibat perlanggaran tersebut, penunggang dan motosikalnya telah jatuh di laluan utama dan kemudian datang sembilan buah motosikal lain masing-masing ditunggang oleh lelaki Melayu lingkungan umur 18 tahun sehingga 23 tahun yang tidak sempat mengelak lalu merempuh penunggang dan motosikal berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Hasbullah berkata, dalam kemalangan itu, lelaki yang terbabas dan merempuh treler tersebut telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tujuh penunggang lain mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Seri Manjung.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar berhati-hati semasa memandu dan patuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Inspektor Mohd. Fahrulrazhi zakaria di talian 012-4433441,” katanya. – KOSMO! ONLINE