fbpx

Taska wajib pamer plak daftar mulai Januari 2025 – KPWKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy ketika sesi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini. -Foto JAPEN

KUALA LUMPUR – Bermula 10 Januari lalu, semua taska berdaftar diwajibkan supaya mempamerkan plak pendaftaran bagi memudahkan ibu bapa memilih pusat asuhan seterusnya membantu usaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menangani isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, plak itu mempunyai kod QR untuk diimbas bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai pendaftaran taska dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Untuk langkah permulaan, pemasangan plak taska berdaftar ini akan dilaksanakan KPWKM secara percuma kepada lebih 3,000 taska berdaftar sebelum 31 Disember 2025 di seluruh negara,” katanya di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Sivaraj Chandran mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di taska, termasuk penyediaan akses televisyen litar tertutup (CCTV) secara langsung kepada ibu bapa dan peningkatan pemantauan bagi mencegah kes penderaan kanak-kanak.

Nancy berkata, pihaknya akan terus melaksanakan usaha melindungi kanak-kanak dan menjalankan pelbagai program serta kempen bagi membendung berlakunya kes penderaan terhadap golongan tersebut.

Namun, katanya, semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin, termasuk ketika berada di taska.

“Diharapkan masyarakat akan lebih prihatin dan cakna dengan apa yang berlaku di sekeliling kita serta berganding bahu agar kita dapat membendung kes pengabaian, penganiayaan dan penderaan terhadap kanak-kanak,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI