SHAH ALAM – Perompak kedai emas di Kota Damansara dekat sini tidak sempat menjual dan memindahkan hasil jenayahnya keluar daripada keretanya ketika ditangkap di Bukit Beruntung dekat sini.
Suspek berusia 32 tahun itu diberkas kira-kira pukul 10 malam di kawasan rumahnya ketika sedang bersiap untuk memasuki kerja pukul 12 tengah malam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pengesanan suspek dilakukan dengan bantuan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dalam pasar raya dan jalan raya selain sistem dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan risikan pihaknya.
Katanya, ini kejayaan polis paling pantas dalam menangkap suspek kes rompak dalam tempoh kurang 12 jam.
“Serbuan yang pantas berjaya memberkas suspek ini dan barangan kes belum dipindahkan daripada keretanya.
“Antaranya 81 utas rantai emas dan wang tunai RM1, 800 dan sekeping kad kuasa PDRM atas nama suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Hussein menambah, wang tunai yang dijumpai tersebut adalah milik salah seorang pelanggan yang berada di dalam kedai emas itu bersama tiga pekerja lain.
“Wang itu sepatutnya digunakan pelanggan wanita bagi membayar emas yang dibelinya,” ujarnya.
Jelas beliau, siasatan mendapati suspek telah berkahwin selama empat tahun dengan keluarganya tinggal di Kelantan.
“Dia menyewa rumah secara bujang dan kita percaya kemungkinan suspek akan melarikan diri ke Kelantan namun berjaya ditangkap polis.
“Kita masih jalankan siasatan sama ada barangan kemas yang disamun akan dijual di negeri pantai Timur itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE