KOTA TINGGI – Keprihatinan seorang jiran di sini yang tidak melihat rutin jirannya membuka pintu setiap pagi membawa kepada penemuan mayat di dalam rumah berkenaan semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB ) Mohd Shawaluddin Ami Nordin berkata, pihak bomba menerima panggilan khidmat membuka pintu berkunci itu pada pukul 2.25 petang semalam di rumah flat Taman Sri Saujana di sini.
“Setibanya pasukan keluaran operasi di tempat kejadian benar ada kes pintu terkunci dari dalam dan ada seorang mangsa lelaki dewasa yang tidak sedarkan diri berada di dalam rumah tersebut.
“Ketua operasi mengarah anggota masuk rumah tersebut melalui tingkap sisi rumah dan membuka pintu dari dalam sebelum mendapati ada seorang lelaki berumur lingkungan 57 tahun. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans KKM,” katanya katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, menurut jiran mangsa, lelaki berkenaan yang berkerusi roda akan membuka pintu setiap pagi. -KOSMO! ONLINE