fbpx

Suami isteri jadi sindiket edar dadah dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas di kediaman pasangan suami isteri di Permatang Pauh, Sabtu lalu.

GEORGE TOWN – Sepasang suami isteri yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah ditahan dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Permatang Pauh dekat sini, Sabtu lalu.

Dalam operasi khas bermula kira-kira pukul 9 malam sehingga awal pagi kelmarin, pihak polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM160,884.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 44 tahun merupakan penganggur manakala isterinya pula seorang suri rumah berumur 35 tahun.

“Hasil serbuan, polis menemui enam peket plastik lutsinar serta empat bungkusan plastik merah mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 4.94 kilogram bernilai RM158,384.

“Selain itu, 100 biji pil Erimin 5 dengan berat 28 gram bernilai RM2,500 turut dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Hamzah, siasatan awal mendapati pasangan tersebut aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

“Jumlah rampasan dadah yang mampu digunakan kira-kira 250,000 kali. Bagaimanapun, ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah, dan semakan rekod jenayah menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya.

Tambahnya, polis turut menyita harta bernilai RM177,100 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk dua buah kereta bernilai RM149,000, dua motosikal bernilai RM18,000, seutas jam tangan bernilai RM8,500 dan wang tunai RM1,600.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 29 Mac untuk siasatan lanjut
dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI