KUCHING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menggempur tiga kegiatan penyeludupan dan satu aktiviti sabung ayam menerusi Op Taring Alpha dan Op Taring Awas/Batas, yang membawa kepada rampasan keseluruhan bernilai RM3.05 juta.
Komander PGA Brided Sarawak SAC Che Ghazali Che Awang berkata, tangkapan pertama dibuat ke atas seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang cuba menyeludup keluar enam tan beras menggunakan sebuah lori di sempadan Sarawak-Indonesia di Lundu kira-kira pukul 6.05 petang, 19 Mac lepas.
“Dua lelaki Indonesia berusia 43 dan 47 tahun ditangkap ketika cuba menyeludup keluar 152 kilogram produk makanan sejuk beku menggunakan sebuah kereta di Lubok Antu 21 Mac lalu dengan nilai rampasan dianggarkan RM103,607.
Dalam perkembangan lain, katanya, seramai 10 lelaki berusia antara 35 hingga 78 tahun yang leka menyabung ayam di kawasan Engkelili kira-kira pukul 1.30 petang semalam turut ditahan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak tujuh ekor ayam sabung dan pelbagai jenis alat serta bahan untuk aktiviti perjudian, termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda,” katanya sambil menambah nilai rampasan dianggarkan RM154,450.
Sementara itu, Che Ghazali berkata sebuah premis dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup telah diserbu semalam, yang membawa kepada penemuan sebanyak 770,000 batang rokok putih dan 161,600 batang rokok kretek pelbagai jenama.
Katanya pasukan serbuan turut menahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 57 tahun serta merampas dua buah kenderaan, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,569,800 (mengikut harga pasaran). – KOSMO! ONLINE