KUALA LUMPUR – Pelakon Diana Danielle berharap kemelut rumah tangga bersama suaminya, Farid Kamil dapat menemui titik noktah hari ini selepas beberapa kali berulang-alik ke mahkamah bagi menyelesaikan permohonan perceraiannya.
Ujar Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, dia sudah penat dan nekadnya cuma satu iaitu dilepaskan secara baik.
“Cepatlah selesai, banyak kali dah turun naik mahkamah, benda yang sama juga.
“Akhirnya saya tetap mahu dilepaskan, harap dia memahami la ya,” katanya kepada Kosmo! Online ketika tiba di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding perceraian dan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP), di sini, hari ini.
Pelakon filem Imaginur itu hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Perseketuan, Kuala Lumpur pada 9.25 pagi berjubah merah jambu satu set dengan selendang bersama ditemani peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Sementara itu, Farid yang hadir 10 minit kemudian bersama peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan, memilih untuk berdiam diri tanpa sebarang kenyataan kepada media.
Pada 16 Disember, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan memerintahkan pasangan Farid dan Diana melantik wakil JKP.
Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin memerintahkan demikian susulan keengganan Farid melafazkan cerai terhadap Diana pada prosiding kes permohonan perceraian mereka.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah
tangga.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10. – KOSMO! ONLINE.