MARANG – Seorang banduan yang dimasukkan ke dalam penjara akibat kesalahan menjadi anggota sindiket penipuan atau scammer melahirkan keinsafan dan berazam mahu mencari rezeki halal selepas ini.
Zamri, 23 (nama samaran) berkata, dia menjalani hukuman penjara selama lima bulan sejak Februari lalu.
“Alhamdulillah, saya terpilih antara 63 banduan yang dibebaskan dalam program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBLS) Ihsan Madani – Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidilfitri hari ini.
“Syukur dengan pembebasan ini dan saya serik mahu mengulangi kesalahan sama,” katanya ketika ditemui di Penjara Marang di sini, hari ini.
Zamri berkata, dia akan bekerja di sebuah kedai mencuci kereta
selepas dibebaskan kelak.
Dia yang berasal dari Kelantan tekad untuk mencari rezeki yang lebih berkat dan membina hidup baharu yang berlandaskan agama Islam.
“Saya mula terjebak dengan sindiket scammer kerana terpikat dengan habuan mewah yang disediakan.
“Sepanjang menjadi scammer, saya akui lebih 10 individu telah menjadi mangsa dari seluruh negara melibatkan kerugian lebih RM78,000,” katanya.
Zamri juga menyesali perbuatannya turut terjebak menjadi keldai akaun dengan hasil pendapatan haram kira-kira RM30,000 bagi tempoh lima bulan. – KOSMO! ONLINE