PETALING JAYA – Pengacara Nabil Ahmad mengakui menangis ketika menerima surat direhatkan daripada tugas sebagai penyampai radio Era selepas dia terpalit isu kontroversi yang didakwa menyentuh sensitiviti perkauman baru-baru ini.
Menurut Nabil, 42, perkara tersebut membuatkan dia mempersoalkan sama ada kerjaya yang dibina bertahun-tahun akan berakhir begitu sahaja.
“Saya dapat surat direhatkan selepas kami (Azad Jasmin dan Radin) keluar dari Bukit Aman.
“Selepas saya baca surat itu, saya terus ke Masjid Bandar Utama dan menangis.
“Ketika ini saya terfikir, sudah habiskah? Adakah ini penghujung (kerjaya), apa yang harus saya jual ketika ini?” katanya dalam satu temu bual podcast bersama bekas pengacara, Aidid Marcello.
Katanya, situasi ketika itu memberi impak kepada emosinya ditambah pula perlu mencari nafkah untuk keluarga.
“Saya tidak pernah tak kerja, selalunya akan dapat cuti atau mohon cuti sendiri.
“Namun, kali ini berbeza kerana saya direhatkan dalam keadaan sedang bekerja dan memerlukan pekerjaan itu.
“Anak-anak juga sedang membesar, dapat surat macam itu memang mental. Macam tak percaya sebab saya dah bina kerjaya itu sehingga hari ini,” katanya lagi.
Tambah Nabil, keputusan direhatkan itu juga membuatkan dirinya mula memikirkan masa depan diri dan perancangan jangka masa panjang.
“Saya pernah cakap pada diri sendiri, kalau nak jadi pengacara, jadi yang tiada ganti dan paling dinanti-nanti orang ramai.
“Macam saya, jenis harung semua jatuh dan bangun itu sendiri tapi bila sampai surat itu, rasa hancur jadinya.
“Saya terfikir ke mana nak pergi dan perancangan masa depan anak-anak. Karier ini memang tak ada ‘backup’. Kalau masa itu habis, kau pun habis,” ujarnya.
Terdahulu, Nabil, Azad dan Radin dikecam selepas tular video memperlihatkan mereka bergurau dengan menyebut ‘Vel Vel’, dipercayai mempersendakan ritual masyarakat Hindu.
Insiden itu mengundang kritikan meluas sehingga syarikat penyiaran, Maestra Broadcast Sdn. Bhd. dikenakan kompaun RM250,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Namun, SKMM memutuskan untuk tidak menggantung lesen stesen radio terbabit selepas mempertimbangkan beberapa faktor.
Menyedari kesilapan, Nabil, Azad dan Radin tampil memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Hindu atas tindakan mereka. – KOSMO! ONLINE