SUNGAI PETANI – Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cubaan membunuh penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Semeling, dekat sini pada minggu lalu.
Tertuduh, B. Vashigharan, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh P. Kirtanah, 19, dengan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan tandas tingkat satu, kampus IPT di Semeling, Bedong dekat sini kira-kira pukul 10 pagi, 17 Mac lalu.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda. Jika perbuatan itu menyebabkan cedera parah tertuduh boleh dipenjarakan selama 20 tahun.
Mahkamah menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang penuntut perempuan sebuah IPT, di sini mengalami kecederaan parah selepas ditikam berkali-kali dalam kejadian di kampus universiti berkenaan.- KOSMO! ONLINE