fbpx

‘Raya kali ini saya sedia jawab soalan kahwin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bagi penyanyi, Naim Daniel, dia sudah mempersiapkan diri terutama dari segi mental sebelum berhadapan dengan soalan-soalan cepumas sebegitu.

MENAMATKAN zaman bujang dan memiliki keluarga sendiri pastinya menjadi impian setiap individu normal.

Keinginan tersebut adakalanya semakin membuak-buak dirasai terutama menjelang bulan perayaan.

Masakan tidak, pastinya soalan tentang mendirikan rumah tangga akan dihamburkan kepada golongan bujang.

Soalan sebegitu juga sememangnya antara yang paling mahu dielakkan individu belum berkahwin.

Bagi penyanyi, Naim Daniel, dia sudah mempersiapkan diri terutama dari segi mental sebelum berhadapan dengan soalan-soalan cepumas sebegitu.

“Raya kali ini mungkin saya lebih bersedia untuk menerima soalan kahwin daripada ibu  saudara, tapi belum ada jodoh nak buat macam mana? Tahun ini saya pasti soalan mengenai nak kahwin akan lebih merapu,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Tidak  berasakan soalan tersebut sebagai beban atau merimaskan, pelantun lagu Lelaki Gila itu mengaku teringin untuk menamatkan zaman bujang sekiranya bertemu jodoh dalam tempoh terdekat.

Tambahan pula, tahun ini dia sudah berusia 27 tahun, kawan-kawan juga ramai yang telah berkahwin.

“Namun jauh di sudut hati, memang saya nak sangat kahwin dan harap tahun ini adalah tahun terakhir saya beraya dengan status bujang.

“Memang nak kahwin tetapi tiada calon lagi pula,” ujar pemilik nama penuh Muhammad Naim Daniel Baharin itu.

Menepis dakwaan dirinya sering dirundung kesedihan dek belum memiliki pasangan hidup, Naim bagaimanapun mengakui naluri untuk bergelar suami semakin menebal selepas diundang membuat persembahan pada majlis persandingan Syafiq Kyle dan Mimi Lana pada Januari lalu.

“Bukan rasa ketinggalan tetapi keinginan itu semakin kuat. Rasanya kena badi. Semasa Mimi dan Syafiq kahwin, memang rasa lain sikit. Namun, saya anggap menyanyi dalam majlis perkahwinan satu rezeki juga,” jelasnya lagi.

Sepanjang bergelar artis, Naim mengakui tidak terlepas daripada dikenenkan dengan beberapa artis wanita, termasuklah Iman Troye.

“Ramai yang ‘kenenkan’ tetapi nak buat apa, tak habis-habis dengan Iman Troye,” selorohnya.

Berkongsi tentang sambutan hari rayanya tahun ini, Naim bakal meraikan Syawal di kampung halaman di Melaka.

“Sepanjang Ramadan tahun ini sibuk promosikan lagu raya dengan barisan penyanyi yang sebumbung di XO house.

“Syawal pula saya dan keluarga raikan di Melaka. Semoga Syawal tahun ini memberi 1,001 kemenangan dan momen terindah kepada semua umat Islam,” katanya seraya menutup perbualan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI