PETALING JAYA – Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR kali ini.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dengan rendah hati dan rasa tanggungjawab, saya ingin mengumumkan hasrat untuk menawarkan diri bertanding sebagai calon Naib Presiden PKR pada pemilihan kali ini.
“Saya juga telah memaklumkan Presiden Parti terlebih dahulu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, beliau membuat keputusan tersebut selepas berbincang dengan pimpinan, rakan serta anggota PKR di seluruh negara.
Jelasnya, matlamat utama beliau untuk memperkukuhkan dan memperkasakan PKR dari peringkat akar umbi sehingga pimpinan pusat.
“Semangat perjuangan harus seiring dengan gagasan Malaysia Madani dan saya percaya bersama-sama kita mampu lakukan yang terbaik demi masa depan negara. Membujur lalu melintang patah. Reformasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE