SHAH ALAM – Seorang profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan rasuah RM5, 071 bagi pembekalan termasuk mafla pelajar dua tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Rifqi Md. Zain, 48, yang berdepan dua pertuduhan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Ahmad Rifqi sebagai pengetua sebuah kolej kediaman di UKM secara rasuah memperoleh suapan tunai berjumlah RM5, 071 daripada seorang lelaki berusia 35 tahun.
Kesemua wang dimasukkan dalam akaun bank tertuduh itu adalah upah membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja membekal dan menghantar baju-T berkolar, lanyard, mafla dan ziplock beg bagi keperluan pelajar kolej untuk sesi 2023/2024.
Kesalahan dilakukan di Wisma UNIKEB, Bangi pada 24 Mei dan 2 Jun 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10, 000 mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa, Mohd. Aliff Shahruzaman mencadangkan jaminan RM15, 000 berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
“Jumlah jaminan itu berpatutan mengambil kira serius pertuduhan dihadapi tertuduh. Hak kebebasan tertuduh juga tidak langgar dengan penyerahan pasport itu dan permohonan mendapatkan semula pasport boleh dibuat di mahkamah,” katanya.
Peguam Mohd. Faizi Che Abu dan Yusfarizal Yusoff merayu jaminan dikurangkan kepada RM5, 000. Katanya, anak guamnya yang berpendapatan RM7, 000 perlu menyara enam anak yang masih belajar termasuk di institusi pengajian tinggi.
“Anak guam juga pengarah sebuah institut di UKM dan sering ke luar negara atas urusan akademik yang merupakan kerja hakikinya. Jadi mohon dilepaskan syarat penyerahan pasport.
“Wang yang dikatakan diterima itu untuk membeli sofa pejabat kolej yang sudah dibuat permohonan penerimaan aset. Mohon jumlah jaminan munabasah di ambang perayaan,” kata peguam itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10, 000 berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Mei ini. – KOSMO! ONLINE