KAJANG – Polis masih menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berkait kes seorang lelaki mencederakan pelajar sekolah menengah selepas berlaku perselisihan faham ketika memandu di Saujana Impian, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kertas siasatan telah dihantar kepada TPR pada 17 Mac lalu.
Katanya, pihaknya kini masih belum menerima sebarang arahan lanjut.
“Kes telah dirujuk kepada TPR pada 17 Mac lalu dan belum ada keputusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Pada 14 Mac lalu, Kosmo! melaporkan, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas memukul seorang pelajar sekolah menengah dalam satu kejadian selisih faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian.
Naazron berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada pukul 9.24 malam yang memaklumkan dipukul suspek kira-kira pukul 2.15 petang.
Katanya, ekoran kejadian itu mangsa mengalami kecederaan retak tulang batang hidung akibat dipukul suspek. – KOSMO! ONLINE