KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan perumahan menjelang perayaan Aidilfitri bagi mencegah kegiatan jenayah pecah rumah.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pemantauan itu akan dilakukan secara berterusan selama 24 jam.
“Kita mempunyai kekuatan sebanyak 1,800 unit rondaan bermotosikal dan 2,870 kereta peronda polis yang akan diatur gerak.
“Pemeriksaan melibatkan kawasan ‘hot spot’ dan mereka yang mengisi alamat rumah melalui borang di balai atau aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Keselamatan Jalan Raya anjuran Petron Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, PDRM di Petron MRR2 Selayang, di sini hari ini.
Program sempena perayaan Aidilfitri itu adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang tidur mikro (microsleep) menerusi pelbagai aktiviti dan penajaan hadiah yang disediakan kepada pengunjung ketika berehat di stesen minyak.
Dalam pada itu, Wan Hassan berkata, orang ramai diseru untuk membuat pengisian maklumat di VSP.
“Untuk tahun lalu, hanya ada satu sahaja kejadian kes pecah rumah direkodkan iaitu di Bintulu, Sarawak. Itu pun hanya cubaan sahaja.
“Ini menunjukkan bahawa efektiknya VSP. Jadi saya minta rakyat gunakannya sebaik mungkin terutama pada musim perayaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE