fbpx

Polis bongkar taktik edar dadah guna botol minuman kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisam (dua dari kanan) menunjukkan kejayaan tangkapan dan rampasan cecair methamphetamine oleh JSJN PDRM Perak di Bilik Media IPK Perak. -Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Taktik pasangan suami isteri menggunakan botol berpelekat minuman kesihatan untuk mengisi cecair dadah bagi mengaburi kegiatan itu daripada dihidu pihak berkuasa gagal, selepas mereka diberkas polis Khamis lalu.

Kedua-dua suspek berusia 30 dan 29 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di kawasan Taman Canning oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak pada pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, ketika diberkas, suspek lelaki berada di kaunter ‘mail boxes’ di dalam stesen minyak itu untuk membuat penghantaran barang ke luar negara.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek menjumpai tiga botol plastik mengandungi cecair berisi 500 mililiter (ml) dadah methamphetamine setiap satu, dua botol plastik masing-masing berisi 260ml cecair methamphetamine dan satu botol kaca mengandungi 527ml cecair methamphetamine.

“Hasil soal siasat dan dipandu arah oleh suspek, pasukan serbuan kemudiannya telah pergi ke rumah pasangan itu di Chemor dan menjumpai enam botol plastik berisi dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 34,784ml.

“Turut dijumpai dalam rumah pasangan yang kedua-duanya bekerja sebagai jurujual penapis air itu ialah peralatan membungkus dadah dan telefon bimbit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Menurut beliau, anggaran keseluruhan isipadu dadah yang dirampas berjumlah 37,331ml bernilai RM1,194,592 dan boleh menampung keperluan seramai 373,331 penagih dadah.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek wanita positif dadah jenis benzodiazepine manakala suaminya pula mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI