SEBERANG PERAI – Seorang kakak yang selama ini terpaksa berkorban menjaga dua abangnya termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) di sebuah rumah pusaka di Pekan Permatang Pauh di sini tidak menyangka kediaman itu akhirnya bertukar wajah.
Rumah usang peninggalan mendiang ibu bapa Auntie Woon, 57, kini diibaratkannya sendiri seperti rumah ‘orang kaya’ setelah kesusahan yang mereka lalui sekali lagi mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baru-baru ini, Anwar menerusi Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkunjung ke kediaman yang menjadi tempat berteduh wanita itu bersama abangnya, Ah Kong, 59, yang terlantar sakit dan Ah Keong, 62, OKU mental.
Steven Sim menerusi hantaran di Facebooknya berkata, kediaman kayu berbumbung dengan dinding yang reput, lantai pecah serta barang-barang kitar semula dilihat memenuhi setiap ruang bilik itu dianggap terlalu istimewa buat Auntie Woon.
Menurutnya yang merangkap Menteri Sumber Manusia, rumah yang dibeli oleh mendiang ayah tiga beradik itu pernah hampir diusir pada tahun 1990-an akibat menjadi mangsa penipuan.
“Ketika itu, mereka pi (pergi) merata cari bantuan. Pada suatu hari, mendiang kakaknya telah berjumpa dengan Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.
“Dia (Auntie Woon) beritahu, bodyguard Anwar langsung tak halang seorang rakyat biasa pi jumpa TPM. Anwar bertanya, ‘Can I help you?’ dan lantas menghulurkan bantuan. Kakaknya berpesan kepada keluarga mereka supaya tidak melupakan jasa Anwar sampai bila-bila kerana dia telah menyelamatkan rumah pusaka mereka
“Kini semua sudah jadi memori. Ayah dan ibu mereka sudah tiada. Kakaknya pun sudah tiada. Hanya ada gambar-gambar foto digantung pada dinding menunjukkan betapa erat hubungan keluarga mereka walaupun hidup serba kekurangan.
“Kini Auntie Woon lah yang menjaga keluarga. Di usia tuanya, Auntie Woon terpaksa keluar setiap hari mengumpul barang kitar semula. Kais pagi makan pagi. Itulah kehidupan mereka,” katanya di sini.

Dalam pada itu, katanya lagi, beliau telah dimaklumkan mengenai nasib keluarga Auntie Woon dan mahu bertemu sendiri dengan wanita tersebut.
“Apabila saya jumpa Auntie Woon dia mengeluh tiada yang membantu. Saya kata jangan bimbang, PM Anwar minta saya datang bantunya. Ketika itu, saya tidak tahu kisah Anwar bantu keluarga mereka 30 tahun dahulu.
“Saya janji untuk baiki rumah usang mereka agar tiga beradik ini boleh hidup dengan selesa dan dalam masa sebulan sahaja, pasukan kami berjaya membaiki dan membina semula rumah usang itu.
“Hari ini (semalam) saya telah melawat Auntie Woon, saya berseloroh dengannya yang rumahnya kini macam banglo orang kaya. Dia ketawa. Dia kata tak sangka dia boleh menikmati rumah macam orang kaya,” katanya yang sedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. -KOSMO! ONLINE