PADANG BESAR – Perlis Inland Port (PIP) dijangka menjadi pemangkin utama kepada perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand yang disasarkan mencecah AS$30 bilion menjelang tahun 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, lokasi strategik PIP di Padang Besar serta penawaran kemudahan nilai tambah menjadikan ia hab logistik serantau yang berdaya saing.
“PIP akan menyediakan perkhidmatan seperti penggudangan, penyimpanan, stuffing, repacking, fumigation dan penyelenggaraan kontena yang menyokong ekosistem dagangan antarabangsa
“Operasi Terminal Kontena Padang Besar (TKPB) akan dipindahkan secara berfasa ke PIP bermula suku ketiga 2025, bagi menampung aliran trafik kargo dari selatan Thailand yang kini hampir mencapai 80 peratus kapasiti,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Operasi dan Penyelenggaraan antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Inland Port Perlis Sdn. Bhd. (IPPSB).
Menurut Anthony Loke, PIP akan mampu mengendalikan sehingga 300,000 kontena bersamaan 20 kaki (TEUs) setahun, berbanding kapasiti maksimum 150,000 TEUs di TKPB yang kini hanya menyediakan perkhidmatan asas seperti Lift-On/Lift-Off dan penyimpanan kontena. – KOSMO! ONLINE