DUNGUN – Seolah-olah mengetahui ajalnya hampir tiba, seorang peniaga bertindak menurunkan isterinya sebelum dia maut dalam kemalangan di Kilometer 345.2, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Kuala Dungun di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.20 malam itu, mangsa, Mohd. Shafie Mat Shah, 32, dari Felda Neram 1, Kemaman meninggal dunia selepas motosikal jenis Yamaha NVX yang ditunggang merempuh belakang treler muatan kayu.
Rakan mangsa, Firdhaus Mohamad, 26, berkata, sebelum kejadian, mereka yang merupakan ahli kelab permotoran berkonvoi dari Kemaman untuk menyertai majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Kuala Dungun di sini.
“Pada awalnya, arwah (Mohd. Shafie) membonceng isterinya, namun sebelum memasuki lebuh raya semasa dalam perjalanan pulang, dia memberhentikan motosikalnya secara tiba-tiba.
“Dia (arwah) meminta isterinya menaiki motosikal peserta wanita sebelum meneruskan perjalanan bersendirian,” katanya ketika ditemui hari ini.
Firdhaus berkata, arwah Mohd. Shafie terbabit dalam kemalangan selepas motosikalnya merempuh belakang treler muatan kayu kira-kira 10 minit selepas itu.
“Ketika kejadian arwah Mohd. Shafie menunggang motosikal di hadapan dan bertindak sebagai jurufoto program. Kami nampak objek melambung dari jauh rupa-rupanya dia (Mohd. Shafie),” katanya. – KOSMO! ONLINE