KUALA LUMPUR – , Kementerian Pertahanan akan mencadangkan agar peruntukan perbelanjaan pertahanan negara diunjurkan sebanyak 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030 bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan (KPP).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, untuk makluman, Malaysia kini memperuntukkan kira-kira 1.1 peratus daripada KDNK negara untuk tujuan pertahanan.
“Cadangan meningkatkan perbelanjaan pertahanan ini adalah seiring dengan pendekatan negara-negara jiran yang memberi keutamaan tinggi kepada sektor pertahanan bagi melindungi kepentingan negara yang berdepan cabaran yang semakin kompleks pada masa kini dan masa hadapan.
“Dalam aspek mempercepat pemodenan Angkatan TEntera Malaysia (ATM) bagi menghadapi ancaman tidak dijangka pula, terdapat beberapa langkah dan strategi yang telah dan sedang diusahakan oleh kerajaan antaranya melalui KPP telah menetapkan hala tuju yang jelas bagi menjadikan ATM sebagai Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang lebih bersepadu, tangkas dan berfokus menjelang 2030,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan, Senator Amir Md Ghazali yang ingin tahu adakah kerajaan mempertimbangkan untuk meningkatkan bajet pertahanan atau mempercepatkan pemodenan ketenteraan dalam menghadapi ancaman yang tidak dijangka.
Tambah Mohamed Khaled, selain memastikan perolehan aset-aset strategik dilakukan dengan cara yang memenuhi keperluan ATM, proses pemodenan ATM turut diberikan perhatian dengan meneliti keperluan-keperluan baharu.
“Ini termasuklah meneliti keperluan mempunyai angkatan siber yang khusus, lengkap, dan berkeupayaan menghadapi ancaman siber dan misinformation campaign.
“Ketiga, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan negara iaitu STRIDE, telah menyenaraikan bidang-bidang fokus kritikal untuk diterokai dan diberikan perhatian agar sektor pertahanan negara berupaya berhadapan dengan perkara-perkara seperti cyber warfare, unmanned warfare, drone warfare dan Chemical, Biological, Radiological and Nuclear (CBRN) Warfare,”katanya. -KOSMO! ONLINE.