PETALING JAYA – Permohonan bagi UP_TVET Perdana Ambilan Julai 2025 akan dibuka mulai 14 April hingga 15 Jun ini bagi memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan individu berminat untuk meneroka bidang kemahiran yang relevan dengan industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru beliau menyeru semua lapisan masyarakat agar memanfaatkan peluang ini dan menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama kerjaya.
“TVET bukan sahaja membuka laluan pekerjaan yang luas, tetapi juga membentuk tenaga kerja yang lebih berdaya saing dalam pasaran global.
“Untuk maklumat lanjut dan permohonan, sila layari https://mohon.tvet.gov.my,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, sejak 2023, kerajaan memperkenalkan portal Unit Pengambilan TVET atau UP_TVET bagi menyelaraskan permohonan kemasukan ke semua institusi TVET yang lebih fleksibel, mengikut keperluan dan minat individu.
Menurutnya, UP_TVET Perdana (Institusi TVET Awam Sahaja) menawarkan program TVET sepenuh masa di Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dengan permohonan dibuka dua kali setahun bagi pengambilan Januari dan Julai.
Bagi UP_TVET Flexi (Institusi TVET Awam & Swasta), katanya ia menyediakan kursus jangka panjang dan pendek lebih fleksibel serta terbuka kepada semua individu yang ingin meningkatkan kemahiran atau menukar bidang kerjaya dengan permohonan dibuka sepanjang tahun.
Ahmad Zahid berkata, TVET menjadi tunjang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor-sektor strategik seperti automasi, teknologi hijau, dan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, graduan TVET bukan sahaja mendapat akses kepada peluang pekerjaan yang lebih luas, malah berpeluang menyumbang kepada inovasi dan kemajuan negara.
“Di Malaysia, kini terdapat 1,398 institusi TVET, terdiri daripada 673 institusi TVET awam, 697 institusi TVET swasta, dan 28 institusi TVET di bawah kerajaan negeri.
“Ekosistem TVET yang luas dan dinamik ini menawarkan program kemahiran sejajar dengan keperluan industri serta perkembangan ekonomi semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE