IPOH – Reputasi sebagai antara lokasi pengeluar kelapa terbesar di Malaysia mampu memastikan Perak tiada masalah bekalan dan kenaikan harga kelapa dan santan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak yakin isu bekalan tidak menjadi masalah sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail malah berkata, santan, kelapa biji dan kelapa parut merupakan antara 23 jenis barangan yang dikawal harga sepanjang musim perayaan ini bermula 24 Mac hingga 7 April depan.
“Kita untung kerana penanaman kelapa yang besar di Bagan Datuk. Saya yakin bekalan untuk santan atau kelapa tiada masalah,” katanya kepada pemberita semasa tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 di sini hari ini.
Mengikut senarai skim, harga runcit santan ialah RM17.50 per kilogram (kg), harga runcit kelapa parut RM13.20 perkg manakala harga borong kelapa biji ialah RM3.50 sebiji.
Senarai 20 lagi barangan yang dikawal harga ialah daging kerbau import, daging lembu tempatan (kecuali daging batang pinang), ikan kembung termasuk ikan mabung, ikan selayang, kubis bulat import (Indonesia dan China), sawi hijau, timun, tomato dan cili merah.
Selain itu ialah kacang panjang, lobak merah, bawang kuning besar, bawang merah besar import, bawang merah kecil India, bawang merah Kecil India (ROS), bawang putih (China), ubi kentang import (China), halia tua import, kacang tanah dan cili kering kerinting.
Ditanya mengenai dakwaan harga santan yang dikatakan meningkat atau mahal, Kamalludin berkata, pihaknya tidak menerima aduan rasmi berkenaan hal tersebut dan percaya terdapatnya pembekal besar di negeri ini membolehkan barangan itu mudah didapati. – KOSM! ONLINE