JOHOR BAHRU – Hampir 10,000 peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di 180 lokasi di negeri ini akan menerima pengecualian caj pihak berkuasa tempatan bagi meringankan beban untuk meneruskan perniagaan selepas terjejas banjir, minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, bantuan RM500 turut diberikan kepada 441 peniaga di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Daerah Kota Tinggi yang terjejas banjir bagi pemulihan segera.
“Pengecualian caj dan bantuan kewangan kepada peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri adalah satu daripada usaha untuk membantu mereka pulih dan menjana semula pendapatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Johor dilaporkan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM11.25 juta kepada 3,749 Ketua Isi Rumah yang terjejas akibat Monsun Timur Laut Gelombang Kelima, dengan setiap KIR menerima RM3,000.
Mohd. Hairi berkata, Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor bersama Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. turut melancarkan misi bantuan dengan menyediakan skim pembiayaan, kemudahan moratoriumserta penggantian barangan perniagaan yang rosak.
Beliau berkata, pelbagai agensi turut menawarkan sokongan kepada usahawan dan peniaga terjejas termasuk pembiayaan sehingga RM700,000 bagi perusahaan kecil dan sederhana serta RM150,000 bagi perusahaan mikro dengan moratorium enam bulan yang boleh dimohon daripada Bank Negara.
“Bank Rakyat turut menawarkan pinjaman dengan kadar 3.5 peratus setahun serta moratorium enam bulan selain Jabatan Pertanian Johor menawarkan bantuan input pertanian dan peralatan kepada petani serta usahawan agro terjejas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE