fbpx

Penerapan nilai Islam kukuhkan imej DMS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DMS aktif menganjurkan program amal untuk membantu golongan kurang bermampuan sepanjang bulan Ramadan.

SHAH ALAM – Terlibat dalam perniagaan menjual kereta mewah dan pelbagai jenis kenderaan import pastinya memerlukan modal yang besar malah pengoperasian perniagaan juga boleh menjurus kepada hasil jualan serta nilai keuntungan yang berlipat kali ganda.

Jika tersalah langkah pas­tinya pemilik syarikat tersebut berdepan dengan masalah dalaman dan pengurusan sehingga boleh menjejaskan kelangsungan syarikat untuk jangka masa panjang.

Selain membuat perancangan yang berinovatif, unsur keberkatan rezeki dalam transaksi perniagaan juga perlu diambil kira agar perniagaan syarikat tidak terpesong jauh daripada landasan agama.

Ini adalah satu perkara utama yang perlu dititik beratkan oleh semua pengasas syarikat tidak kira dalam bidang automotif tetapi juga dalam industri lain bagi membawa unsur keberkatan rezeki untuk menyara ahli ke­luarga serta kakitangannya.

Menyedari betapa pentingnya nilai Islamik diterapkan dalam pengoperasian syarikat, DMS Motors Sdn Bhd (DMS) telah melantik seorang pakar dalam hal eh­wal agama Islam iaitu Pengasas Pertubuhan Kebajikan Pondok Motivasi, Ustaz Dr. Ashraf Suarin untuk menjadi penasihat syariah dalam syarikat sejak tahun lalu.

Menurut Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif DMS, Datuk Mohamad Salim Abd. Rahman, pelantikan tersebut dibuat agar dapat membantu memantau perniagaan syarikat mematuhi prinsip syariah yang betul sekali gus menawarkan per­khidmatan penjualan dan pembiayaan kereta tanpa riba.

“Ramai yang membeli kereta daripada DMS kerana pelbagai faktor, antaranya kerana ada pelanggan yang meragui pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan di pasaran kerana kami menawarkan pembiayaan daripada dana syarikat sendiri kepada pelanggan yang layak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama anak-anak tahfiz dan anak yatim dalam program Raikan Ramadan 2025 di sini baru-baru ini.

Setelah sekian lama mengamalkan perniagaan secara Islamik, Mohamad Salim berjaya mengukuhkan empayar perniagaannya dalam industri tersebut meskipun dalam keadaan turun naik ekonomi negara yang sekali sekala dilanda badai cabaran.

Hatinya tetap tenang, tiada musuh dalam perniagaan dan sentiasa bersemangat untuk menganjurkan kerja-kerja amal untuk berkongsi rezeki bersama golongan yang kurang berkemampuan.

Salah satu acara tahunannya dalam bulan Ramadan adalah menyantuni lebih daripada 200 anak tahfiz daripada Academy Muslimin Centre, Tahfiz Darul Ulum, Pusat Tahfiz Ummu Waraqah, Pusat Tahfiz Zaid bin Thabit dan Pondok Motivasi Hamlatul Quran serta 80 kanak-kanak dari rumah anak yatim terpilih dalam program terbaharu itu baru-baru ini.

Selain itu, syarikat juga me­nganjurkan DMS Care Program yang mana sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh syarikat akan disalurkan untuk membiayai pendidikan anak-anak tahfiz yang berpotensi untuk melanjutkan pelajaran mereka demi mencipta pe­luang kerjaya yang lebih baik pada masa depan.

Antara inisiatif lain syarikat adalah menawarkan latihan industri dalam bidang automotif kepada kumpulan pelajar tahfiz dan anak yatim.

Mohamad Salim memiliki pe­ngalaman lebih daripada 20 tahun dalam industri jual beli kende­raan (recond) dan juga yang mo­del baharu.

Beliau memulakan bisnes DMS sejak tahun 2016 dan berjaya menjadi peneraju dalam menawarkan perkhidmatan penjualan kereta secara lease to own (sewabeli) yang membantu pe­langgan memiliki kenderaan me­lalui penyelesaian pembiayaan yang tidak berunsurkan riba.

Tambah beliau, buat masa ini, syarikat memiliki beberapa segmen perniagaan yang melibatkan penjualan kereta melalui sebuah pusat jualan di sini, bengkel kereta di Gombak dan yang terbaharu bakal membangunkan sebuah pusat sehenti untuk menawarkan perkhidmatan serba lengkap termasuk selepas jualan kepada pelanggan.

Buat masa ini, projek baharu itu sedang dibangunkan berdekatan dengan pusat beli-belah Publika di Kuala Lumpur (KL) dengan pelaburan kira-kira RM10 juta.

“Sudah tiba masanya kami memiliki sebuah pusat sehenti yang lengkap dengan segala perkhidmatan kepada pelanggan dan kami berkeyakinan ia akan dapat membantu mengukuhkan jenama DMS untuk jangka panjang,” jelasnya.

Mohamad Salim menerangkan, kereta kini bukan sekadar untuk kekayaan tetapi adalah perkara yang sangat penting digunakan oleh masyarakat.

Sehubungan itu, DMS turut menawarkan perkhidmatan jualan kenderaan baharu, mewah, recond dan juga kereta buatan Malaysia yang dapat membantu melengkapkan serta menceriakan industri automotif tempatan.

Syarikatnya kini memiliki le­bih daripada 30 jenis kereta yang terdiri daripada kereta mewah, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diimport dari United Kingdom dan Jepun.

Antara kenderaan yang paling mahal ditawarkan di outletnya bernilai kira-kira RM1.5 juta.
Jelasnya, sepanjang kariernya yang juga turun padang membantu menjual kenderaan kepada pelanggan, Mohamad Salim berdepan dengan pelbagai ra­gam pelanggan yang kaya atau kurang berkemampuan; wanita atau lelaki atau yang berusia muda dan juga tua.

Beliau juga sudah mahir dan berpengalaman melayan ke­renah pelanggan serta berdepan kes-kes menarik, lucu dan sedih berhubung sikap pelanggan.

“Ada pelanggan yang tidak tidak berkemampuan membayar komitmen bulanan selepas menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk menaik taraf ken­deraan yang dibeli daripada DMS.

“Dan ada juga pembeli yang menjual kenderaan mewahnya tetapi membeli kereta yang le­bih kecil dan murah di DMS untuk meneruskan kelangsungan hidupnya,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI