KOTA TINGGI – Jalan utama ke kampung Felcra Sungai Layau di sini terputus selepas mengalami runtuhan sehingga terkesan kepada hampir 300 penduduk ekoran hujan lebat yang berlaku.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif bagaimanapun jalan berkenaan turut dinaiki air akibat hujan.
“Terdapat 190 buah rumah melibatkan hampir 300 orang penduduk yang tinggal di kampung tersebut. Runtuhan berlaku empat hari lalu disebabkan hujan berterusan selama dua hari.
“Pejabat Daerah Kota Tinggi dan agensi-agensi terlibat juga telah bermesyuarat dan langkah-langkah akan diambil untuk kemudahan penduduk antaranya jalan alternatif sepanjang satu kilometer akan ditambak oleh pihak Felcra dan JAKOA selewat-lewatnya hari esok bersekali dengan saluran air.
“Culvert sementara akan dibina oleh pihak SAFWA selewat-lewatnya esok. Kita juga telah membuat permohonan peruntukan untuk membina jambatan baharu kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana,” katanya ketika mengadakan lawatan di laluan terputus Felcra Sungai Layau, di sini.
Tambahnya, kerja-kerja berkenaan bagaimanapun mengambil kira kederasan arus air di sungai tersebut.
Katanya, apa diharapkan penduduk dapat bersabar diatas musibah yang berlaku dimana beliau dibantu pejabat daerah dan agensi terlibat berusaha membantu menangani isu tersebut.
Dalam pada itu Fauziah berkata, beliau bersama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) juga akan menghantar bantuan beras disetiap rumah di kampung berkenaan.
“Memandangkan penduduk tidak boleh keluar membeli keperluan seperti biasa dimana jalan alternatif pun dinaiki air dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan tinggi sahaja, jadi kita mengambil inisiatif ini untuk membantu meringankan beban penduduk, ” katanya lagi.-KOSMO! ONLINE