PETALING JAYA – Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan bertekad membawa suara akar umbi ke peringkat kepimpinan tertinggi dengan bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti kali ini.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan pimpinan, rakan serta anggota PKR di seluruh negara.
“Keputusan ini diambil kerana akar umbi perlu ada wakil yang benar-benar memperjuangkan suara mereka di peringkat pimpinan tertinggi.
“Selain itu, saya mahu memastikan PKR terus diperkukuh dalam kerajaan bagi menghadapi cabaran politik semasa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Institut Koperasi Malaysia (Ikma) bersama media, di sini hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Sungai Buloh itu, pemilihan kali ini amat penting kerana ia akan menentukan hala tuju parti dalam era pemerintahan Kerajaan Madani.
Mengulas persaingan jawatan Naib Presiden yang turut disertai penyandang seperti Nurul Izzah Anwar dan Fahmi Fadzil, Ramanan mengakui cabarannya besar tetapi yakin ahli parti akan membuat pilihan terbaik.
“Persaingan kali ini memang sengit kerana semua calon adalah pemimpin berpengalaman. Namun, saya percaya anggota akar umbi memahami keperluan parti dan akan membuat keputusan yang bijak,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Ramanan mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR kali ini.
Katanya, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Media sebelum ini melaporkan lima penyandang telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan naib presiden parti, iaitu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Turut menyatakan hasrat bertanding adalah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Nurul Izzah Anwar. – KOSMO! ONLINE