KUALA LUMPUR – Polis menahan pemandu kereta disyaki merempuh seorang penunggang motosikal yang berteduh di lorong kecemasan di bawah jejambat di Lebub Raya Kuala Lumpur-Seremban, selepas Tol Sungai Besi, di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya mengesan kejadian membabitkan penunggang motosikal berusia 76 tahun menerusi video tular di media sosial pada pukul 8.40 malam.
“Siasatan awal mendapati sebuah motosikal berhenti di lorong kecemasan di bawah jejambat untuk berteduh sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemandu kenderaan berusia 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur di 03-2026 0267/0269 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE