fbpx

Pelajar tingkatan 5 parah diseret ketika lari SJR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video kejadian tersebut

SHAH ALAM – Tindakan seorang pelajar tingkatan 5 lari daripada sekatan jalan raya (SJR) dengan cara berbahaya memakan diri apabila dia parah dilanggar sebelum diseret sebuah trak pikap di Kilometer (KM) 7.3, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), di sini baru-baru ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam, 8 Mac lalu dengan remaja berusia 17 tahun itu melawan arus seterusnya menyeberangi pembahagi jalan.

Akibatnya, penunggang motosikal jenis Modenas Kriss itu patah paha kiri dan kedua-dua bahu. Remaja itu masih menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, remaja itu membuat pusingan U secara berbahaya bagi mengelak SJR.

“Anggota Unit Rondaan Bermotorsikal yang sedang membuat rondaan cuba menahan motosikal dan meminta remaja itu berhenti, namun tidak diendahkan.

“Remaja itu mengelak dengan menyeberangi jalan dan menaiki pembahagi jalan secara berbahaya sebelum dilanggar dan diseret trak pikap Toyota Hilux sehingga terjatuh dan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati penunggang motosikal itu bertindak demikian kerana tiada lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor S. Vemal di talian 011-39216101 atau Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman menerusi 017-2836851.

Sebelum ini tular sebuah video berdurasi 19 saat memaparkan aksi seorang penunggang motosikal dan detik-detik kemalangan itu di media sosial. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI